Ahad, 27 Mei 2012

Tindakan agresif pembangkang

Sinar Harian 27 Mei 2012

Azalina (duduk, tengah) pada sidang media di Bangunan NGO Parlimen Pengerang semalam.
MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI – Perhimpunan politik PKR di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman yang berlangsung malam kelmarin, didakwa sebagai gerakan pembangkang bagi mewujudkan tindakan agresif yang bertujuan untuk menghasut penduduk.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said berkata, berdasarkan risalah yang diedarkan pada ceramah tersebut, yang menyebut tentang risiko kesihatan yang akan dihidapi penduduk jelas menunjukkan tuduhan tidak berasas.

“Pada risalah yang diedarkan pada ceramah itu, mereka menyebut tentang risiko kesihatan yang akan dihidapi penduduk termasuklah penyakit barah hidung, barah usus dan pelbagai lagi sekiranya projek pembangunan gas dan minyak ini dijalankan.

“Adakah mereka ini mempunyai bukti yang sahih yang menunjukkan projek tersebut menyebabkan masalah kesihatan? “Malah sebelum ini kita tidak pernah mendengar pula akan projek sama seperti yang dibangunkan di Jurong, Kerteh yang mengakibatkan penyakit tersebut.

Tuduhan ini jelas menunjukkan penipuan daripada pembangkang yang bertindak untuk mewujudkan provokasi,” katanya pada sidang media di Bangunan NGO Parlimen Pengerang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuan perhimpunan itu diadakan adalah untuk mempertahankan hak penduduk Pengerang yang terlibat dengan projek pembangunan tersebut.

“Saya hendak beritahu, mana-mana projek pun kita akan sokong, namun kita tidak setuju jika keselamatan rakyat belum terjamin seratus peratus.

“Malah debat di Parlimen juga kita bangkitkan isu Petronas yang menyentuh soal kebajikan penduduk di sini. Jika mereka nak ambil tanah boleh tetapi mestilah beri pampasan munasabah.

Kita juga minta Petronas agar berunding terus dengan orang kampung tanpa ada orang tengah.

Kita juga akan setuju jika Petronas melaksanakan projek ini sendiri tanpa pihak-pihak lain,” katanya ketika berucap pada perhimpunan politik PKR di kampung berkenaan malam kelmarin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan