Isnin, 14 Mei 2012

Pampasan penduduk Pengerang diumum Oktober

WARTAWAN SINAR HARIAN 14 Mei 2012

PENGERANG - Kerajaan Negeri akan mengumumkan nilai pampasan kepada penduduk yang terlibat bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Johor Selatan, selewat-lewatnya Oktober depan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, proses penilaian pampasan kepada penduduk sedang dilaksanakan dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga lima bulan.

“Kerajaan sedar ketika ini, perkara yang berlegar di fikiran penduduk dan yang kerap dibualkan ialah soal pampasan. Kita berharap penduduk bersabar dan tunggu pengumuman.

“Kerajaan akan memastikan penduduk Pengerang akan mendapat manfaat yang terbaik sempena perlaksanaan projek ini, kita mahu penduduk di sini bukan sahaja tidak terjejas malah menjadi lebih baik,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran projek Rapid Johor Selatan, di sini, semalam.

Abdul Ghani memberi keyakinan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kebajikan penduduk di Pengerang tidak akan diabaikan dan akan dipastikan terpelihara.

“Agenda penting dalam pelaksanaan Rapid, tempat perpindahan penduduk disediakan sebelum dilaksanakan projek ini di mana mereka akan dipindahkan secara berperingkat.

“Kumpulan pertama akan mula berpindah pada Mac tahun depan melibatkan tiga kampung iaitu penduduk Kampung Sungai Kapal, Kampung Teluk Empang dan Kampung Langkah Baik,” katanya.

Abdul Ghani menyatakan keyakinan projek Rapid itu akan membawa faedah kepada masyarakat setempat termasuk pembangunan infrastruktur yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Ini peluang keemasan untuk daerah kecil seperti Pengerang dan kawasan berdekatannya untuk berubah wajah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun melalui satu pembangunan yang berstrategik dan mampan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan