Isnin, 14 Mei 2012

BERNAMA:Projek RAPID, Pengerang Projek Pembangunan Terbesar Negara – Najib

KOTA TINGGI, 14 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata industri minyak dan gas di Pengerang, Johor, kini diambang menerima pelaburan keseluruhan RM120 bilion dalam tempoh lima hingga enam tahun.

Perdana Menteri berkata separuh daripadanya akan disumbang oleh Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas bernilai RM60 bilion serta jangkaan pelaburan berbilion dolar oleh syarikat Taiwan dan Jerman.

Beliau berkata sebuah syarikat petrokimia Taiwan akan membuat pelaburan di kawasan itu bernilai US$10 juta hingga US$12 juta bagi menampung keperluan RAPID.

Sebelum itu, Petronas telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoA) dengan satu kumpulan kimia kepelbagaian Jerman, BASF, bagi membangunkan, membina dan dan mengendalikan kemudahan pengeluaran secara bersama bagi mengeluarkan kimia khusus serta loji bagi mengeluarkan bahan mentah awalan di dalam Kompleks RAPID itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kesemua projek itu bakal melonjakkan dan mengukuhkan Johor sebagai satu pusat minyak dan gas serta petrokimia yang unggul di Asia serta dunia.

“Projek RAPID ini adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang kerajaan kenal pasti sebagai projek berimpak tinggi dan mampu membawa perubahan besar kepada taraf sosio ekonomi rakyat.

“Ia mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tong sehari penapisan minyak mentah untuk menghasilkan produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran projek RAPID, di Pengerang, di sini Ahad yang disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Mahkota Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta empat lagi putera baginda.

Najib berkata, projek RAPID yang lebih besar daripada kompleks sedia ada di Kerteh, Gebeng dan Melaka itu juga mampu menghasilkan produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel.

“Projek itu juga mampu mengeluarkan 9.0 juta tan produk petroleum dan 4.5 juta tan petrokimia setahun yang boleh mengeluarkan pelbagai bahan kimia berkaitan dan ia nanti akan dilengkapi dengan kilang pengisian gas bagi menerima tangki Gas Asli Cecair (LNG),” katanya.

Beliau berkata, kompleks itu nanti akan terdiri daripada sebuah loji penapisan minyak dengan kapasiti 150,000 tong sehari serta sebuah loji perekah nafta dengan kapasiti 800,000 tan setahun.

Menurutnya, jika kedua-dua buah projek ini berjaya dilaksanakan, wilayah Johor Selatan berupaya memproses 450,000 tong sehari dan perekah nafta sebanyak 3.8 juta tan setahun.

Najib berkata, disebabkan projek RAPID ini dipercepatkan pelaksanaannya, pihaknya yakin projek Petronas akan berupaya mencapai matlamatnua dalam tempoh lima tahun dengan dijangka mula beroperasi akhir 2016.

Selain itu, Najib berkata pembangunan projek itu tetap mengambil kira kepentingan alam sekitar mengikut piawaian antarabangsa.

Beliau memberi jaminan Petronas sentiasa mengutamakan aspek penjagaan alam sekitar dalam setiap projeknya dan mengharap penduduk kawasan itu tidak perlu risau terhadap kesan negatif terhadap alam sekitar.

Penduduk juga akan diberikan pampasan sewajarnya dengan setakat ini sebanyak RM4.1 juta sudah dibayar kepada nelayan terjejas, selain menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengendalikannya, katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikanreplika cek RM1.24 juta kepada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman untuk membaik pulih 124 rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan.
Sebelum ini, sebanyak RM1.7 juta telah disalurkan menerusi projek khas itu dengan melibatkan 172 buah rumah.

Source : Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan