Selasa, 16 Oktober 2012

PR setuju Rapid Pengerang, tapi ditangguh

Sinar Harian 16 Oktober 2012

JAMILAH HAMZAH

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) berkata pihaknya tidak menolak Projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid) di Pengerang tetapi tidak mahu ia menjejaskan kepentingan rakyat dan mahu ditangguhkan buat sementara.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tapak yang dijadikan kawasan Rapid itu bercanggah dengan prinsip-prinsip yang diputuskan PR.

Menurutnya, projek Rapid yang mengambil kawasan kampung tradisi dan rakyat dihalau tidak dipersetujui PR, tetapi ia boleh diteruskan di kawasan alternatif yang berdekatan.

Tambahnya, projek tambak laut juga diteruskan sebelum diambil tanah rakyat, terutamanya nelayan menjadi mangsa dan mengalami kerugian besar serta PR tidak yakin dengan keputusan kajian alam sekitar.

"Kita pada dasarnya memang tidak menghalang projek pembangunan, tapi projek Rapid di Pengerang yang mengancam rakyat, kita tak setuju.

"Kita minta projek itu ditangguhkan bagi memenuhi keperluan pelbagai pihak supaya tidak membebankan rakyat," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PKR, hari ini.

Sebelum ini, Pas pernah menggesa kerajaan supaya mengubah projek Rapid itu di kawasan tanah kerajaan yang tidak jauh daripada 10 kampung tradisi di Pengerang.

Menurut Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, beliau meminta Menteri Besar Johor menyatakan mengapa projek itu perlu dijalankan di kampung tersebut.

Sementara itu, rakyat Pengerang turut mengadakan himpunan bantahan pada Sepetember lalu bagi membantah projek Rapid di kawasan kampung tradisi itu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, kerajaan perlu menangguhkan projek tersebut terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah yang dituntut rakyat.

Katanya, "ini pejuang-pejuang Melayu yang nak musnahkan kampung Melayu ini, kenapa?"

Dalam pada itu, Salahuddin turut menyokong kenyataan Ketua Pembangkang itu dan menyatakan kerajaan perlu memikirkan hak rakyat yang tertindas ekoran projek tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan