Khamis, 26 April 2012

kenyataan: "Angry Lobster" Berpakat Himpunan Bersih 3.0 Anak Pengerang Semua Berkumpul Di Ibu Kota


Pertubuhan Angry Lobster menyeru supaya semua anak Pengerang di seluruh Negara supaya menyahut tuntutan Bersih dan Hijau 3.0 supaya berhimpun dan duduk bantah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April 2012 jam 2.00 petang.

Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Negeri telah menjalankan Projek Bersepadu Penapisan Petroleum Dan Petrokimia di kawasan Pengerang tanpa menjalankan konsultasi daripada penduduk setempat terlebih dahulu. Hal ini demikian telah menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan penduduk setempat.

Suatu kempen tandatangan telah dijalankan tempoh hari bawah penyelenggaraan Ahli Parlimen Bakri, YB Er Teck Hwa. Kempen tandatangan yang dinamakan "KampungKu SuaraKu" ini dijalankan untuk membentangkan suatu Rayuan kepada Dewan Rakyat bawah peruntukan Peraturan 19, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bertujuan meminta Parlimen supaya mengada suatu referendum di kawasan Pengerang untuk menentukan penjalanan projek RAPID ini. Malangnya, Rayuan ini telah ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia atas tiga alasan yang bercanggah dengan prinsip demokrasi seperti yang berikut : perkara ini tidak perlu disegerakan, menteri telah menjawab dalam Dewan serta kebanyakan penduduk tidak menurunkan tandatangan. "Angry Lobster" menganggap alasan-alasan ini adalah tidak munasabah sebab :

Kerja penambakan telah dijalankan dengan laju secara berterusan siang malam tanpa memperolehi konsensi penduduk setempat terlebih dahulu. Hal ini demikian telah menjejaskan cara hidup dan rezeki orang kampung terutamanya nelayan. Justeru, Dewan tidak sepatutnya melihat perkara ini sebagai sesuatu perkara yang tidak perlu disegerakan.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani YB Datuk Chua Tee Yong sebenarnya masih belum menjawab kecurigaan penduduk Sungai Buntu tetapi hanya memberitahu Kementerian akan bekerjasam dengan UPEN untuk menempat semula nelayan. Bagaimana pun projek RAPID yang tersebut di atas ini bukan sahaja menjejaskan rezeki para nelayan di kawasan Pengerang ini tetapi juga menimbulkan isu-isu yang lain seperti pengambilan tanah, pemindahan kawasan perkuburan, pencemaran dan sebagainya. Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak sepatutnya menolak Rayuan ini dengan alasan bahawa Timbalan Menteri telah menjawab.

Dalam sejarah demokrasi berparlimen di Negara kita, jarang berlaku keadaan di mana Rayuan awam dibentangkan bawah peruntukan Peraturan 19. Maka pejabat Setiausaha Parlimen tidak dapat memberikan satu format rasmi Rayuan yang akan dibentangkan itu tetapi kini menggunakan alasan bahawa kebanyakan penduduk tidak menurunkan tandatangan mereka adalah sesuatu alasan yang semata-mata untuk menyusahkan dan mengabaikan hasrat penduduk setempat.

Apa yang berlaku di Pengerang ini walaupun diperkecilkan sebagai sesuatu isu setempat malah bilangan penduduk dan kawasan yang terjejas adalah sangat besar dan kesannya terhadap sosio ekonomi dan alam sekitar adalah begitu besar. Angry Lobster berpendapat bahawa kita tidak seharusnya memandang rendah isu ini kerana isu ini akan memberi impak yang sangat besar atas sistem demokrasi, pembangunan alam yang lestari dan ekonomi Negara.

Perhimpunan BERSIH dan Hijau kali ini bertemakan tuntutan untuk suatu sistem Pilihanraya yang adil dan bersih serta tuntutan pemeliharaan alam sekitar. Oleh yang demikian kami berpendapat bahawa Perhimpunan kali ini berkaitan rapat dengan perjuangan kami. Ini adalah disebabkan kempen tandatangan dan Rayuan awam yang bertemakan “KampungKu SuaraKu” adalah bertujuan menuntut suatu referendum di kawasan Pengerang yang merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak persekutuan ditubuhkan dan perlaksanaan referendum ini adalah merupakan asas dalam sistem demokrasi. Pada masa yang sama perlaksaan projek RAPID di kawasan Pengerang ini yang akan menyebabkan pencemaran tanah, air dan udara yang teruk ini juga merupakan sesuatu yang tidak seharusnya dipandang ringan.

Berlandasan hujah-hujah yang tersebut di atas, Angry Lobster berharap isu projek RAPID di Pengerang ini mendapat tumpuan seluruh Negara mahupun antarabangsa maka kami telah memutuskan supaya meningkatkan tahap perjuangan kami dan bergabung dengan perhimpunan BERSIH dan Hijau 3.0 atas duduk bantah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Kami juga menyeru supaya semua anak Pengerang mahupun mereka yang masih bermastautin di Pengerang atau telah berpindah ke mana-mana tempat di selurh Negara supaya bersama-sama berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April 2012, jam 2.00 petang supaya semua anak Pengerang dapat berganding bahu menyuarakan hasrat kita.

Hong Tian Hwa
Penyelaras Angry Lobster

Tiada ulasan:

Catat Ulasan