Merdeka Review Ahmad Anwar Asyraf | Mar 29, 2012 03:37:17 pm
Semalam, Ahli Parlimen Bakri telah pun mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau telah melancarkan satu kempen Petisyen Rakyat berhubung dengan projek Refinery And Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor dimana petisyen ini akan dijadikan sebagai satu usul di bawah Perkara 19, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.
Projek RAPID ini sememangnya akan membawa pembangunan dan juga membuka peluang-peluang pekerjaan di daerah Pengerang namun ia juga harus tidak mengkesampingkan rintihan suara rakyat di kawasan tersebut. Apatah lagi, apabila berkait soal pampasan, pencemaran yang mungkin dihadapi oleh rakyat dan ekosistem, dan juga pemindahan penempatan baru. Soalan-soalan ini harus didengari dahulu agar satu penyelesaian menang-menang jangka panjang dapat diadakan tanpa menolak pembangunan yang bakal berlaku di kawasan tersebut.
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) memandang serius ketiga-tiga aspek ini atas nama pembangunan yang menjaga kemaslahatan rakyat. Pihak syarikat yang diberikan kelulusan untuk membangunkan projek di kawasan tersebut perlu memikirkan soal pampasan yang setimpal perlu diberikan, bukan hanya sekadar memberikannya semata-mata. Ia seharusnya turut memikirkan kemungkinan ada di antara rakyat kawasan ini yang akan kekurangan hasil pencarian atau lebih malang lagi mungkin akan terus kehilangan mata pencarian.
Rakyat turut berhak untuk mengetahui secara jelas dan terperinci apakah kemungkinan-kemungkinan pencemaran yang boleh berlaku sekiranya terdapat kemalangan di loji-loji Petrokimia ini dan apakah langkah-langkah pemuliharaan yang akan diambil pemaju projek RAPID ini bagi menjaga ekosistem dan ekologi sekitar Pengerang. Rintihan dan suara rakyat berkenaan pemindahan penempatan mereka juga perlu didengari.
Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM JOHOR) dengan ini menyokong penuh usaha kempen tersebut dan akan bersama-sama dengan seluruh kekuatan aktivis kami untuk memberikan bantuan seupaya mungkin bagi menjayakan kempen "Kampungku Suaraku" ini. SAMM Johor turut merayu kepada semua anak muda Pengerang tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik harus bersama-sama menjayakan kempen ini agar satu referendum atau pungutan suara penduduk Pengerang dapat diadakan dan dipersembahkan kepada Parlimen Malaysia demi masa depan Pengerang yang lebih baik tanpa menjejaskan kualiti kehidupan setiap penduduknya.
Inilah masa yang terbaik untuk setiap rakyat di kawasan yang terlibat perlu menyuarakan pandangan mereka. Pembangunan tanpa memikirkan kemaslahatan rakyat di dalamnya adalah sia-sia. Penduduk harus bersama-sama mengecapi keuntungan pembangunan bukannya dibiarkan melarat atas nama pembangunan. Dan seharusnya sebagai sebuah Kerajaan yang membawa slogan Rakyat Didahulukan, kempen petisyen untuk referendum rakyat ini seharusnya dialu-alukan dan diberi keutamaan.
*Kenyataan media oleh Ahmad Anwar Asyraf selaku Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan